KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang daripada tiga individu dalam klip video yang dimuat naik kumpulan militan IS adalah rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mohd Rafi Udin.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, berkata Mohd Rafi berasal dari Negeri Sembilan meninggalkan Malaysia untuk menyertai IS di Syria pada tahun 2014.
Beliau berkata, Mohd Rafi juga adalah ahli Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Polis sudah mengenalpasti identiti individu dalam video yang dimuat naik sebagai Mohd Rafi Udin yang juga dikenali sebagai Abu Ain dan dia pernah ditahan kerana pembabitannya dalam KMM," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Beliau mengulas ancaman terbaharu oleh IS menerusi klip video yang dimuat naik kumpulan militan itu pada Selasa lalu yang menghasut supaya individu yang menyokong IS supaya bangkit menentang kerajaan termasuk di Malaysia.
Ayub berkata, PDRM yang sentiasa bersiap sedia dan tidak takut menghadapi ancaman kumpulan militan itu terutama daripada cabang IS di rantau ini iaitu Khatibah Nusantara yang berpusat di Filipina. Dalam video berdurasi dua minit 42 saat itu, Mohd Rafi bersama dua lagi individu dipercayai rakyat Indonesia dan Filipina, meminta umat Islam supaya bangun memerangi kerajaan yang disifatkannya sebagai 'toghut'.
"Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak lagi akan aman sebentar lagi. "Kami akan pulang untuk menyerang kalian atau sahabat-sahabat kami yang berada di sana, InsyaAllah akan memenggal leher-leher kalian." katanya.